Saturday, 26 November 2011

Selamat Tahun Baru Anakku Aisyah

Anakku Aisyah,

Untuk sekian lama, ayah menyepikan diri, menanggung rindu padamu, akhirnya ayah hadirkan blog ini. Mungkin di suatu hari nanti apabila dikau dewasa, akhirnya kau mengerti betapa ayah menyayangi Aisyah sepenuh hati Ayah.

Aisyah sayang,
Bukan ayah tidak mahu berjumpa dengan Aisyah. Dah dua bulan Ayah berpisah dengan mama. Dah 2 bulan juga ayah tidak dapat berjumpa dengan Aisyah. Setiap kali ayah minta mahu berjumpa dengan Aisyah, tiada jawapan dari mama. Ayah sedih tapi ayah diamkan saja. Ayah cuma mampu berdoa agar kita dapat dipertemukan semula. Kalau tidak di dunia, ayah doa di syurga.

Aisyah sayang,
Ayah hanya mampu melihat rakaman video aisyah bermain yang ayah sempat rakamkan semasa Aisyah kecil dahulu. Setiap kali ayah tengok, setiap kali itu ayah menangis. Entah kenapa, sampai sekarang ayah tak dapat tahan perasaan sedih ayah ini. Ayah minta maaf tapi ayah tak sanggup duduk dengan mama lagi. Mama dah burukkan ayah depan semua orang. Ayah tak pernah burukkan mama. Ayah sedih sangat. Rumah di Taman Desa Bahagia itu untuk kita tapi mama awal-awal dah keluar dari sana. Mama cakap ayah jahat sangat. Tidak ada langsung baik ayah ini. Ayah ingat lagi kita berdua tinggal di dalam rumah tanpa mama. Aisyah nangis sampai pagi. Tapi ayah tak merungut. Ayah sayang Aisyah. Ayah rindu aisyah. Aisyah rindu ayah tak? Ayah rindu Aisyah tidur atas bahu ayah. Kita tidur sama-sama atas tilam. Ayah rindu semua itu... Ayah tak tahu sampai bila mama nak ayah terseksa macam ni...

Aisyah anakku, sebelum ni ayah ada buat diari untuk Aisyah. Setiap hari ayah tulis untuk lepaskan rindu pada Aisyah. Nanti, ayah bagi Aisyah baca. Ayah betul-betul rindu pada Aisyah... Aisyah jaga diri ye. Jaga mama dan adik jugak. Nanti ayah tulis lagi. Selamat tahun baru Anakku